Monday, December 17, 2007

Monday, September 10, 2007

Muara Tesong...

Hayatilah keindahan alam di Muara Tesong...

Wednesday, September 5, 2007

Berkelah, Kuantan, Pahang.

Video di Berkelah Gambang, Kuantan, Pahang.
Nikmati dan hayatilah keindahannya...




Wednesday, August 15, 2007

SUNSERT VIEW CHALET LAIN DARI YANG LAIN


Dengan
dikelilingi oleh rimbunan pohon bunga kertas yang menghijau dan bunga yang
berwarna-warni konsep chalet yang bercirikan tradisional ini pasti memikat sesiapa sahaja yang melihatnya. Terletak di Teluk Nipah, Sunsert View Chalet menyediakan kemudahan bilik dengan pendingin hawa, tv, astro, katil bersaiz standard, serta pemanas air amat sesuai bagi mereka yang inginkan percutian yang murah tapi selesa. Chalet yang mempunyai 12 pintu serta dua dorm yang boleh memuatkan 16 orang dalam sesuatu masa pasti menjadi pilihan jika anda ke Teluk Nipah.

Tarikan semula jadinya iaitu memberi makan burung enggang iaitu pada setiap pagi dan petang. Menarik memperkatakan tentang salah satu spesis enggang yang terdapat di Pulau Pangkor yang jinak ini memberikan satu pengalaman baru yang tidak pernah anda alami sebelum ini. Ramai pengunjung dan pelancong yang teruja apabila melihat pengusaha resort ini iaitu En. Noordin Bakar memberi makanan kepada burung enggang. Dengan hanya satu siulan sahaja burung-burung enggang ini akan terbang menghampiri kawasan chalet ini. Dapatkan pakej pelancongan yang sangat hebat seperti melawat pulau, snorkeling, berkelah di pulau dan bermacam-macam lagi. Untuk ke Teluk Nipah anda boleh menggunakan pengangkutan teksi yang terdapat di pulau ini dengan kadar tambang RM12.00 satu perjalanan. Ataupun dengan menyewa kereta dengan kadar harga yang berpatutan. Dan untuk mendapatkan pakej serta penginapan di Sunsert View Chalet boleh menghubungi En. Noordin Bakar di talian 05-6855448 atau hp 012-4082297




Tuesday, August 14, 2007

Teknik Melukis Kartun & Komik

SESIAPA yang pernah membaca majalah Gado-Gado yang
diterbitkan sekitar pertengahan 1990an, mungkin menyedari kewujudan nama kartunis ini.

Abu Bakar bin Abdullah dilahirkan pada 8 April 1966 di Bukit Merah, Bagan Serai, Perak Darul Ridzuan. Di kalangan rakan-rakan sekampung beliau dikenali sebagai Abu. Dengan menukarkan nama Bakar kepada Burn dan kemudian mencantumkannya pada nama Abu, maka terhasillah nama Aburn.

Seawal usia 12 tahun, Aburn sudahpun membantu keluarganya menoreh getah sebelum kemudiannya bekerja di ladang kelapa sawit dan menjadi buruh binaan. Selepas bekerja di kilang perabot di Johor Bharu, Aburn bekerja sebagai kelindan lori di Kuala Lumpur. Selepas bekerja di sebuah kilang pakaian, beliau berhijrah pula ke Sungai Buloh untuk bekerja di sebuah kilang papan lapis, sebelum kemudiannya bekerja di sebuah kilang kertas di Kepong Baru. Aburn juga pernah menjawat tugas sebagai penolong tukang masak di Hotel Equatorial, sebelum bekerja di sebuah kelab snuker di Sunway. Beliau juga pernah menjadi pencuci kereta di Kompleks Pertama.

Abang kandungnya yang kedua banyak memberi galakan untuk Aburn menceburi bidang ini walaupun bapa beliau tidak menyukainya. Di peringkat awal, Aburn sangat terpengaruh dengan karya-karya kartunis Deen dan Wak Sarawak. Beliau kemudiannya, tanpa disedari, banyak menerima tunjuk ajar daripada Wak Sarawak, kartunis yang berasal dari Bintulu, Sarawak, dan pernah berkarya untuk majalah Jenakarama dan Batu Api.

Bermula dengan ruangan Tajam Batu di majalah Batu Api pada tahun 1984 dan ruangan Bakat Kita di majalah Gelihati, Aburn terus melebarkan sayapnya ke majalah-majalah lain, antaranya Gila-Gila, Humor, Gelagat dan Jenakarama. Pada tahun 1994, beliau diterima bekerja di majalah Gado-Gado. Di situ, beliau banyak belajar teknik-teknik melukis kartun daripada Deen, yang bertindak sebagai ketua kartunis. Namun, usia Gado-Gado tidak lama. Penghujung 1997, majalah itu ditutup operasinya. Aburn kemudian mencuba nasib di majalah Ujang. Karya-karya beliau akhirnya diterima, malah di majalah Ujanglah beliau mula menggunakan nama Umbut, atas cadangan kartunis Bawang. Bersama majalah Ujang, beliau banyak mengisi slot Lawak Antarabangsa dengan cerita kehidupan dua beranak yang bekerja sebagai penoreh getah di kampung.

Selepas hampir dua tahun berkarya di majalah Ujang, beliau diminta satu penerbitan untuk mengendalikan sebuah majalah humor baru yang dinamakan Umbut – nama yang digunakan beliau di majalah Ujang. Disebabkan beberapa masalah dalaman, Aburn akhirnya menarik diri dari majalah tersebut. Beliau kemudian menghasilkan majalah Tergelak dengan konsep yang berbeza daripada majalah-majalah humor yang lain. Tergelak akhirnya terpaksa dihentikan operasinya berikutan tiada promosi yang kuat.

Pada tahun 2000, Aburn menyertai majalah Toin-Toin di bawah pengurusan kartunis Nazan. Tetapi sekali lagi, seperti mana Tergelak, Toin-Toin turut ditutup penerbitannya. Aburn kemudian menyertai Mishar dalam usaha menerbitkan kembali majalah Batu Api dan sebuah lagi majalah berjudul 1001 Gila. Namun, kedua-dua majalah tersebut tidak dapat bertahan lama di pasaran.

Pada penghujung 2004, Aburn dipelawa mengendalikan sebuah lagi majalah iaitu Mato-Mato, yang berkonsepkan kartun dan komik. Selepas setahun lebih beroperasi, majalah tersebut juga terpaksa dihentikan operasinya.

Aburn kemudian mula berkecimpung dalam bidang penulisan dan kewartawanan untuk beberapa akhbar tabloid, antaranya Buletin Utama dan Buletin Rakyat. Di samping itu beliau turut dijemput memberi ceramah mengenai bidang kartun bersama beberapa orang rakan. Beliau juga kerap mengadakan bengkel kartun dalam membimbing mereka yang mahu menjadi kartunis. Aburn juga turut mencuba menulis buku dan novel grafik. Dan tahun 2006, buku usaha beliau dan rakannya, Junuh, berjudul Teknik Melukis Kartun & Komik menemui pasaran.

Aburn seorang kartunis yang berdisiplin. Sentiasa awal dalam memulakan tugas. Pada peringkat permulaannya dalam bidang ini, beliau banyak menggunakan berus dan nib dalam berkarya. Kemudian beralih kepada pen teknikal. Ketika menyumbang karyanya untuk majalah Ujang, beliau lebih gemar menggunakan fine line pen. Itu, bagi beliau, lebih mencepatkan kerjanya dalam menyiapkan karya.

Aburn gemar menghasilkan karya berbentuk loose dan satira tetapi mempunyai mesej. Bagi Aburn, karya beliau di dalam majalah Ujang adalah terbaik pernah dihasilkannya, walaupun hanya mengisi slot Lawak Antarabangsa. Karya beliau tersebut menyentuh tentang kehidupan dua beranak yang bekerja sebagai penoreh getah di kampung. Si ibu ingin berhijrah ke ibu kota tetapi si anak sering menggagalkan rancangan ibunya. Kata Aburn, mesej yang ingin disampaikan beliau dalam karyanya itu ialah supaya mencintai pokok getah!

Karya Aburn pernah dipamerkan di Hotel Concorde pada tahun 2004. Dan pada tahun 2005, beliau bersama beberapa orang kartunis lain berjaya memecahkan rekod bagi kategori kartun terpanjang yang dihasilkan di Melaka. Lukisan sepanjang 300 meter itu tercatat dalam Malaysia Book Of Records. Aburn sebenarnya tidak meminati kartun-kartun luar negara. Tetapi dalam bidang muzik, beliau lebih gemar mendengar lagu-lagu dari artis Indonesia. Aburn juga seorang yang mempunyai kegemaran memasak. Beliau berkemampuan memasak semua jenis masakan mee, dari mee bandung ke mee kari hinggalah ke mee sup. Mungkin ini hasil dari pengalaman beliau sebagai pembantu tukang masak dahulu, selain daripada kegemaran beliau terhadap masakan mee.

Selain daripada itu, beliau juga boleh membikin laksa, mihun goreng, kue tiaw goreng serta nasi goreng. Walaupun meminati bolasepak, Aburn lebih gemar bermain sepak takraw, malah posisi killer adalah posisi pilihannya!

Aburn sebenarnya agak resah dengan kebanjiran karya-karya kartun dari luar negara seperti dari negara Jepun. Bagi Aburn, ini secara tidak langsung akan membunuh industri kartun kita.
Kerana itu beliau mengajak semua kartunis bangun memperjuangkan dunia kartun Malaysia ini. Namun begitu, nasihatnya agar mereka sentiasa berhati-hati dan tidak menjadi bahan permainan penerbit yang hanya mahukan keuntungan. Belajarlah selok belok dan sepak terajang dalam dunia kartun terlebih dahulu. Apapun, semuanya terpulang pada kartunis itu sendiri, bukan orang lain, dalam memartabatkan dunia kartun kita. Buatlah apa yang patut, katanya, "…selagi ada jalan."